Wednesday, September 18, 2013

50 kapal berhias warnai Tebingan Kuching

Salah satu gambar kapal berhias daripada Sarawak Energy

KUCHING: Perarakan 50 kapal berhias menyusuri Sungai Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia dirai meriah dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung di Tebingan Kuching, di sini, malam ini.

Penyertaan kapal pelbagai saiz dihias indah dengan jalan cerita tersendiri menggambarkan rentetan sejarah sepanjang 50 tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.
Perarakan diketuai kapal milik kerajaan negeri, diikuti Kementerian Pelancongan Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Laut dan disusuli beberapa agensi kerajaan dan syarikat swasta lain.

Majlis turut dimeriahkan dengan pertunjukan sejarah Sarawak dan perkembangannya menerusi konsep 'water screen' dan pertunjukan bunga api berirama.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Hamimah turut mencemar duli menyaksikan acara yang penuh warna warni.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Kabinet Persekutuan dan Menteri Kabinet Negeri.

No comments:

Post a Comment