KUCHING: Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Malaysia Ke-50 yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di Padang Merdeka, Kuching Isnin lepas meriah dengan persembahan pelbagai acara menarik.
Majlis itu dimulakan dengan lintas hormat dan Tembakan Meriam Istiadat sebanyak 21 das yang menggamit suasana sambutan itu.
Perbarisan disertai 65 kontinjen, 12 pancaragam, 11 jenis kumpulan kenderaan, kenderaan berat pihak keselamatan negara dan segmen lintas udara yang mempamerkan pesawat CN235, S61A-4 Nuri dan Jet Pejuang Sukhoi, helikopter Hornbill Skyways dan Viking 400 MASwings.
Baginda berdua berkenan berangkat menyempurnakan istiadat itu yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin serta Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Upacara itu turut dihadiri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, barisan menteri kabinet persekutuan dan negeri serta ahli-ahli yang berhormat.
Selain perbarisan dan persembahan padang serta udara, video khas sempena ‘50 tahun Jubli Emas Sarawak Harmoni Kemakmuran Dinikmati’ dan klip penghargaan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut ditayangkan menerusi skrin gergasi.
Kemeriahan sambutan Hari Malaysia lebih terasa apabila orang ramai yang berkunjung di situ turut bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak semasa lagu kebangsaan dan lagu-lagu patriotik dimainkan.
No comments:
Post a Comment